Universiti Malaya, ICCR tubuh Kursi Sains Sosial Julai

UNIVERSITI Malaya (UM) akan menubuhkan Kursi Sains Sosial dengan kerjasama Indian Council for Cultural Relations (ICCR)di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran menjelang Julai ini.

 
Pemangku Naib Canselornya, Prof Dr Hamzah Abdul Rahman, berkata penubuhan kursi akademik UM ke-11 itu susulan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani dengan ICCR di Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, pewujudan kursi itu sebagai instrumen mendedahkan warga UM kepada sistem ekonomi, budaya dan perundangan masyarakat India menerusi pelbagai aktiviti termasuk ceramah, bengkel dan penyelidikan bersama.

 
“ICCR yang sebelum ini banyak menubuhkan kursi akademik di Eropah kini menumpukan inisiatif itu di Asia Tenggara malah UM institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia dipilih untuk tujuan itu.
“Penyandang Kursi Sains Sosial akan dilantik sebelum Julai ini dan calonnya daripada universiti ternama dari India,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani MoU antara UM dan ICCR.

Upacara menandatangani MoU itu disempurnakan Hamzah mewakili UM sementara ICCR diwakili Ketua Pengarahnya, Shri Virendra Gupta sambil disaksikan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay Gokhale

Kursi akademik di UM ketika ini adalah Kursi FFM (Kejuruteraan Biokimia), Kursi Tunku Abdul Rahman, Kursi Perakaunan Maybank, Kursi Petronas, Kursi Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Kursi Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali, Kursi Tun Ismail Ali, Kursi Profesor Diraja Ungku Aziz, Kursi Perlindungan Kewangan Warga Tua serta Kursi Khazanah Nasional.- Berita Harian.

0 comments:

© 2009 - UM-KINI | Design: Choen | Pagenav: Abu Farhan Top