Pengorbanan Kita Sekecil Zarah...Salam Maulidur Rasul!!

0 comments
Alhamdulillah saya dengan rasminya sudah menyertai projek terakhir buat diri saya di ASTAR ini iaitu Debat Terbuka ASTAR (DTA) yang berlangsung pada 17-21 Februari 2010 yang lepas.

Bersama-sama rakan yang lain, kami berjaya menempuh suka duka bersama projek ini dan akhirnya berjaya menganjurkan salah satu pertandingan debat yang terbesar di dalam UM ini.

Diransang dengan rasa kurang puas hati dalam penyertaan saya yang lalu pada kejohanan Debat Piala di- Raja awal tahun lalu, saya menyertai DTA kali ini sekali lagi sebagai sukarelawan atau ‘runner’ untuk memerhati dan mempelajari lebih lanjut dalam bidang penganjuran pertandingan berasaskan intelektual ini.

Berbaloi rasanya mengorbankan cuti pertengahan semester 2 ini untuk menimba sedikit sebanyak ilmu sertai membuat kenalan baru daripada universiti lain seterusnya mendalami cara-cara melayan orang yang normal mahupun yang sedikit kurang normal.

Di kesempatan itu, saya juga ingin berterima kasih pada kawan-kawan yang membuat satu sambutan ringkas hari jadi junior saya, anim bersama-sama dengan saya.

Terharu rasanya walaupun sambutan dilakukan sehari lebih awal kerana ingin menyambut hari jadi anim sekali yang jatuh pada tarikh 19/2/2010.

Berakhirnya DTA menandakan minggu-minggu yang mencabar sedang menanti diriku dengan 3 ujian pertengahan semester telah ditempuhi pada hari Isnin dan Selasa yang lepas.

Insyaalah pada hari Selasa akan datang, ada satu lagi ujian pertengahan semester bersama dengan 1 ’presentation’ harus ditempuhi bagi subjek yang kurang digemari.

Selain itu, bebanan kerja semakin meningkat apabila semakin menghampiri pengakhiran sesi ini tatkala projek tahun akhir yang mengalami sedikit masalah ditambah pula dengan tugasan getaran gunaan yang baru dilaksanakan semalam.

Akan tetapi bila mengenang kembali zaman Rasullullah S.A.W tatkala baginda menanggung amanah sebagai pemimpin umat, sudah pasti tanggung baginda adalah lebih berat daripada apa yang boleh saya bayangkan sekarang ini.

Dengan itu, saya dapat merasakan apa yang saya alami sekarang ini jika dibandingkan dengan keperitan Rasullullah adalah sangat kecil bak zarah-zarah sahaja.

Tanggungan yang saya hadapi sudah pasti mencabar bagi saya tetapi saya yakin saya akan menempuh dugaan yang lebih sukar tatkala usia meningkat dan tanggungjawab bertambah.

Walau bagaimanapun, saya yakin ujian ini tidak seperit pengorbanan Nabi junjungan alam kita, Muhammad S.A.W yang telah meredah langit dan bumi untuk membawa syafaat buat kita.

Baginda yang dimaki dicerca semata-mata mahu melihat syiar Islam tersebar disegenap alam akhirnya berjaya hingga membolehkan kita mengecapi nikmat iman dan kehidupan bahagia bersama Islam.

Sempena dengan hari keputeraan Baginda Rasullullah S.A.W pada 12 Rabiul Awal setiap tahun Hijrah yang bersamaan dengan 26 Februari tahun ini, kita perlu mengambil iktibar segala pengorbanan dan usaha Baginda untuk menegakkan Islam di mata dunia.

Mengenangkan semua ini akan membuat kita lebih menghargai nikmat Islam yang kita semua perolehi sejak dapat mencelikkan mata kita ini.

Salam Maulidur Rasul buat seluruh umat Islam, walaupun Rasullullah sudah lama meninggalkan kita, tetapi kekalkan jalinan dan ingatan kita pada Rasullullah dengan selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Baca Selanjutnya -

'Buat yang terbaik untuk mahasiswa'- Khairul Anwar

2 comments
Terkini:

Lembah Pantai, 26 Februari - "Buat yang terbaik untuk semua mahasiswa UM". Demikian komen sulung Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), saudara Khairul Anwar Abu Kasim selepas majlis penyerahan watikah perlantikan MPMUM semalam.

Kenyataan itu dipetik dalam laman facebooknya semalam.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh mahasiswa yang telah mengundi dan menyokongnya dalam pilihan raya kampus baru-baru ini. 

"Insya Allah kami akan buat yang terbaik untuk mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaya", katanya. 

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), saudara Mohd Shazni Munir Bin Mohd Ithnin turut mengucapkan tahniah atas perlantikan dan barisan kepimpinan MPMUM yang baru.

Beliau menggesa barisan kepimpinan baru agar bersungguh-sungguh dalam menunaikan manifesto yang telah dijanjikan kepada mahasiswa. Beliau menambah, kepimpinan merupakan satu amanah daripada Allah dan tanggungjawab perlu dipikul oleh pemimpin kerana ia bakal disoal di Akhirat kelak.

Barisan kepimpinan MPMUM dilantik secara rasminya dalam satu majlis penyerahan watikah yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor semalam. - um-kini
Baca Selanjutnya -

Mahasiswa pulau aktiviti anjuran MPMUM

0 comments
Kuala Lumpur  26 Feb : Kumpulan pro-Mahasiswa (Pro-M) mengambil keputusan untuk memulaukan 'kabinet' baru Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) yang dibentuk oleh kumpulan pro-Aspirasi (pro-A).


17 calon pro-M yang menang pada pilihan raya kampus yang lalu juga tidak hadir pada majlis perlantikan yang diadakan di Dewan Tunku Canselor kelmarin.

Bantahan itu bertujuan menyatakan pendirian mereka bahawa pilihan raya kampus pada 28 Jan lalu tidak dijalankan secara telus dan adil. Ia juga sebagai tanda protes berhubung keengganan pihak pro-A untuk menghormati kemenangan pro-M pada peringkat kerusi umum.

Mohd Fadzil Jamal, wakil mahasiswa pro-M untuk kerusi umum, memberitahu Malaysiakini bahawa semua wakil dari kumpulan mereka tidak akan mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang bakal dianjurkan oleh MPMUM.

“Kita, wakil pro-M yang menang, tidak akan mengiktiraf kabinet baru yang dilantik. Ini bermakna kita akan boikot,” katanya.

“Tetapi, kita akan terus berjuang untuk isu mahasiwa,” tambahnya.

Dia juga berkata, 17 wakil pro-M akan membentuk satu kabinet bayangan untuk bersaing dengan pro-A.

Kabinet bayangan ini akan dinamakan sebagai “Majlis Perwakilan Pro Mahasiswa UM”(MPPMUM) dan Fadzil telah dipilih sebagai presidennya.

Fadzil juga menjelaskan antara sebab utama untuk pemulauan itu ialah kerana pro-M telah dinafikan hak untuk mengambil tempat dalam majlis tertinggi MPMUM walaupun mereka menang lapan daripada sembilan kerusi umum.

“Kita anggap apa yang berlaku adalah tidak adil. Kita telah menang 8 daripada 9 kerusi umum, tetapi hanya dilantik sebagai ahli jawantankuasa untuk biro-biro,” katanya.

“Kita nampak ini macam satu penghinaan terhadap undi mahasiswa.”

Bagi MPMUM, wakil mahasiswa dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu sembilan kerusi umum dan 32 kerusi fakulti. Kerusi umum akan dipilih oleh semua mahasiswa dalam kampus, manakala kerusi fakulti hanya dihadkan kepada satu fakulti sahaja.

Pada pilihan raya kampus pada 28 jan lalu menyaksikan pro-A yang mengakui sebagai penggerak mahasiwa berjaya merampas balik UM dengan memenangi 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi pro-M, walaupun pro-M menang lapan daripada sembilan kerusi umum.

Kumpulan pro-M berasa yang tidak berpuas hati terhadap keputusan itu dan mendakwa sistem e-undi yang pertama kali digunakan membuka ruang untuk penyelewengan.

Pada kemuncak bantahan itu, keesokan harinya, ratusan penyokong pro-M mengepung bangunan canselori dan menuntut naib canselor, Datuk Ghauth Jasmon supaya membatalkan keputusan pilihan raya dan mengadakan pemilihan baru.

Walaubagaimanapun, pihak universiti menolak rayuan pro-M dan menafikan sistem baru ini mempunyai kelemahan.-Malaysiakini.
Baca Selanjutnya -

Pameran Seni Cetak Di Universiti Malaya Mulai 23 Februari

0 comments

KUALA LUMPUR: Muzium Seni Asia, Universiti Malaya (UM) akan menganjurkan Pameran Seni Cetak di kampus itu bagi mengetengahkan karya cetak tempatan sambil mendedahkan dunia seni itu kepada generasi muda.
Menurut kenyataan universiti itu, pameran yang berlangsung selama sebulan mulai 23 Februari akan mempamerkan 80 karya pelukis dan citrawan muda dari UM, Akademi Seni Warisan Kebangsaan, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pameran itu akan turut disertai bekas Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob, yang terkenal dengan minatnya dalam bidang sastera dan seni halus.
Seni cetak menghasilkan karya seni dengan cara mencetak melalui pelbagai cara seperti monoprin, toreh kayu, saring sutera, kolograf, litograf dan gurisan. – BERNAMA
Baca Selanjutnya -

'Tidak iktiraf', MPPMUM isytihar kabinet mahasiswa

2 comments
Terkini: Lembah Pantai, 25 Februari - Majlis Perwakilan Pro-Mahasiswa (MPPMUM) hari ini menyatakan pendirian tidak mengiktiraf kabinet yang telah dibentuk dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).
Perkara itu dinyatakan oleh Yang Di-Pertuanya, saudara Mohd Fadzil Bin Jamal dalam satu sidang media selepas majlis penyerahan watikah perlantikan oleh Naib Canselor.
Katanya, jawatan-jawatan yang telah dilantik adalah tidak relevan apabila calon-calon daripada fakulti diangkat menganggotai Majlis Tertinggi sedangkan calon-calon yang telah memenangi kerusi umum hanya dilantik sebagai ahli jawatankuasa biasa sahaja.
"Kita tidak mahu sangat jawatan tersebut, tetapi mereka perlu mengiktiraf dan mendengar suara majoriti mahasiswa yang secara jelas telah memilih kami dalam pilihan raya kampus baru-baru ini", ujarnya.
"Sekurang-kurangnya ada suara kami di dalam Majlis Tertinggi MPMUM", tambahnya lagi.
Seorang lagi calon umum, Goh Chin How memberitahu, ketika perbincangan bersama Yang Di-Pertua, saudara Khairul Anwar Abu Kasim, mereka sudah mencapai persepakatan untuk melantik beberapa calon umum yang menang ke dalam jawatan MT.
Namun, katanya, ketika mesyuarat bersama Majlis Tertinggi, cadangan mereka telah ditolak mentah-mentah.
Ia turut disokong oleh seorang calon Bebas yang menyatakan ketidak sesuaian mereka berada di dalam jawatan MT, sedangkan mereka dipilih majoriti mahasiswa fakulti untuk berkhidmat di fakulti mereka. - um-kini.
Baca Selanjutnya -

MPMUM terima watikah hari ini

1 comments

dikemaskini 1.58 a.m

Lembah Pantai, 25 Feb - Majlis penyerahan watikah perlantikan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) akan diadakan secara rasmi petang ini.

Surat jemputan telah pun dikeluarkan kepada wakil-wakil mahasiswa yang menang di dalam pilihan raya kampus baru-baru ini. Majlis akan diadakan di Dewan Tunku Canselor (DTC) jam 5 petang. Penyerahan watikah tersebut akan disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UM, Datuk Dr Ghauth Jasmon.

Seramai 41 ahli majlis perwakilan mahasiswa telah dipilih oleh mahasiswa dalam pemilihan MPMUM pada 28 Januari lepas dan menyaksikan penguasaan kembali kumpulan Pro-Kerajaan di UM.

Di dalam pilihan raya kali ini juga, UM telah memperkenalkan sistem pengundian secara elektronik (e-undi) namun mendapat tentangan dairpada beberapa kumpulan mahasiswa. Berikutan itu, keputusan pilihan raya terpaksa digantung selama seminggu bagi menyiasat dakwaan kumpulan mahasiswa berlakunya penyelewengan dan manipulasi undi.

Walaubagaimanapun, pada 3 Februari, Naib Canselor mengumumkan secara rasminya keputusan pilihan raya. Keputusan kekal sepertimana pengumuman awal. - um-kini.

Baca Selanjutnya -

'Jangan perlekeh orang muda'

0 comments
KOLUMNIS : Dato Saifuddin Bin Abdullah

Membina modal insan - intelektual, kreatif dan inovatif - bukanlah mudah. Satu daripada langkahnya ialah mewujudkan iklim yang kondusif untuk pembangunan insan bersepadu di pelbagai peringkat seperti sekolah, universiti dan institusi belia.

Ketika melancarkan Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) pada 27 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa penuntut harus diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif. Ini bagi mewujudkan ekosistem yang mengupayakan budaya kreatif dan inovasi yang melibatkan segenap lapisan masyarakat dan bidang.

Majoriti guru, pensyarah dan pengurus belia serta pemimpin sekolah, universiti dan institusi belia komited dengan agenda ini. Bagaimanapun, malangnya, terdapat juga keadaan-keadaan yang sebaliknya, di mana sesetengah orang muda bukan sahaja tidak disediakan dengan iklim yang kondusif itu, malahan terdapat mereka yang diperlekehkan.

Sesetengah pihak menganggap gejala memperlekeh orang muda jarang berlaku. Tetapi, oleh kerana keunggulan jarang berlaku jika dibandingkan dengan kehambaran, maka, perkara yang jarang berlaku usah dipandang ringan. Sebenarnya, ia dianggap jarang berlaku kerana ia jarang dilaporkan atau dibincangkan dengan terbuka.

Namun, jika dilihat komentar tentang hal ini dalam facebook saya, maka ia tidaklah sejarang yang dijangka. Di samping itu, sesetengah orang tidak faham akan makna memperlekeh orang muda, lalu mengatakan yang gejala ini jarang berlaku.

Gejala memperlekeh orang muda muncul dalam beberapa bentuk.
Pertama, orang muda dilemparkan dengan kata-kata kesat dan sindiran. Contoh yang berlaku di sekolah ialah, "saya tak peduli awak siapa", "budak kampung", "saya tarik balik restu saya sebagai guru", "saya makan kasut kalau awak lulus" dan "awak berdoalah sajalah".

Contoh di universiti ialah, "mahasiswa tidak matang", "mahasiswa masih berhingus", "belum lulus universiti dah nak cakap pasal politik", "sudut pidato pasti berkubur", "awak siapa nak berhujah dengan saya? Saya profesor" dan "aku pegawai, atau engkau pegawai?"

Contoh dalam gerakan belia pula ialah, "awak pemimpin masa depan, sekarang ni jangan campur urusan kepimpinan", "kalau bukan wakil rakyat tak mampu memimpin persatuan belia" dan "idealisme tahi kucing".

Kedua, orang muda dikenakan peraturan atau hukuman yang keterlaluan. 
Terdapat kes pelajar sekolah yang telah pun selesai menjalani hukumannya, tetapi terus tidak dibenarkan mewakili sekolah/rumah dalam kokurikulum atau membuat persembahan pentas atau keluar ke bandar (jika di sekolah berasrama) hinggalah tamat persekolahannya. Ini bermakna beliau dihukum dua kali. Ini bertentangan dengan prinsip keadilan yang termaktub dalam Artikel 7
Perlembagaan Persekutuan yang menegah berlakunya "dwi-dakwaan".
Di universiti, terdapat kes mahasiswa yang dianggap bersalah (sebelum diadili), tetapi akibat tidak dapat dibuat pertuduhan kesalahan yang spesifik, maka beliau dihadapkan juga ke lembaga disiplin atas pertuduhan yang tidak munasabah seperti "menjatuhkan nama baik universiti". Justeru, tidak dapat dibayangkan sejauh manakah ketidakadilan yang berlaku sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada 2009.

Dalam gerakan belia, pernah terdapat dua buah badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dinafikan hak peruntukan kewangannya semata-mata kerana berbeza pendirian dengan pemimpin atasan agensi kerajaan yang berkaitan.
Ketiga, bakat orang muda dibunuh. Terdapat pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang mewakili negeri dalam sukan yang kelengkapannya tidak terdapat di sekolah, seperti squash, boling dan renang, yang ibu bapanya bersedia berbelanja sendiri untuk jurulatih dan latihan di luar, kerana memahami yang sekolah tidak mampu menyediakannya. Malangnya, sudahlah sekolah tidak menyediakan kemudahan pengangkutan, dan ibu bapa menyediakannya sendiri, pelajar berkenaan disukarkan pula mendapatkan kelulusan untuk pergi berlatih.

Terdapat idea atau program yang hendak disampaikan atau dilaksanakan oleh mahasiswa dikekang, kerana mahasiswa itu dilabelkan sebagai pembangkang. Lebih dahsyat lagi, idea atau program tersebut diberikan kepada mahasiswa lain untuk melaksanakannya. Dalam kes lain, oleh kerana tidak faham akan kepentingan sesetengah kokurikulum, seperti debat dan bola keranjang, maka, ia kurang disokong.

Terdapat idea daripada pemimpin belia yang tidak diendahkan kerana beliau tidak bergelar, berharta atau berjawatan tinggi. Anehnya, idea itu kemudiannya digunakan oleh pemimpin agensi kerajaan (yang menolak idea tersebut), tetapi tanpa sebarang pengiktirafan kepada pemimpin belia itu.

Keempat, orang muda tidak dibolehkan berbeza pendapat. Jika berbeza pendapat, pelajar tidak diberikan restu, mahasiswa dilabelkan sebagai pembangkang, manakala belia dituduh hendak tunjuk pandai.

Dan kelima, suara orang muda dinafikan. Terdapat pelajar yang telah dipilih oleh persatuannya menjadi ketua, tetapi dipaksa oleh sekolah supaya melepaskan jawatan kerana kononnya prestasi akademiknya buruk. Tetapi, syarat akademik itu tidak wujud ketika pemilihan dibuat, dan pelajar itu tidaklah buruk prestasinya. Lebih kasihan ialah pelajar itu telah pun bekerja keras mengetuai persatuannya untuk satu tempoh masa yang signifikan, termasuk berjaya mengumpulkan sejumlah besar penajaan bagi persatuan.

Terdapat mahasiswa antarabangsa yang telah dipilih menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT), tetapi dipaksa oleh IPT itu supaya melepaskannya kerana kononnya jawatan itu hanya boleh dipegang oleh mahasiswa Malaysia, sedangkan syarat itu tidak wujud.
Seorang Presiden MBM pernah dinafikan haknya berucap seperti yang sepatutnya di Perhimpunan Hari Belia Negara.

Tetapi, bukan orang muda sahaja yang berhadapan dengan gejala ini. Ada guru debat yang berjaya lima tahun berturut-turut membawa pasukannya ke pertandingan akhir, dan tiga kali menjadi johan, tetapi, bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada sekolahnya, malahan, lebih teruk lagi, beliau diberikan markah rendah dalam laporan penilaian prestasi tahunan kerana kononnya debat tidak termasuk dalam sasaran kerja tahunan.

Ada pensyarah yang menjalankan tugas hal ehwal pelajar (HEP) dengan cemerlang, tetapi tidak mendapat penilaian prestasi yang sewajarnya kerana kerja-kerja HEP tidak diiktiraf oleh ketuanya.

Ada pegawai belia yang begitu komited, yang sanggup bekerja tanpa mengira masa dan tenaga, tetapi tercicir dalam pengiktirafan kepada pegawai lain yang pandai mengampu atau mempunyai talian dengan orang besar.

Gejala buruk ini mesti dihentikan segera. Oleh kerana ia berlaku di peringkat akar umbi, maka, Menteri dan pegawai tinggi sahaja tidak mampu menanganinya. Ia memerlukan keberanian sosial setiap seorang daripada kita untuk merubahnya.
Baca Selanjutnya -

Tiada pilihan raya semula di UM

0 comments
Pilihan raya kampus tidak akan diadakan semula, dan keputusan pada Khamis lalu kekal, demikan diumumkan oleh Naib Canselornya, Datuk Dr Ghauth Jasmon, sebentar tadi.
Menurut beliau, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) akan dibentuk kabinetnya dalam tempoh seminggu ini.
Katanya, siasatan yang dijalankan oleh perunding yang dilantik pihak universiti dan perwakilan pelajar mendapati tidak ada masalah dalam sistem pengundian elektronik (e-undi).
"E-undi tidak ada masalah, kedua-dua konsultan yang dilantik oleh pihak universiti dan pelajar mendapati tiada masalah"
"Havard yang menggunakan sistem ini juga tiada masalah", katanya.
Menurut Ghauth lagi, semua bantahan yang dikemukan oleh pelajar tidak memberi kesan kepada keputusan pengundian.
Bagaimanapun, pihak universiti akan terus membuat pantauan bagi penambah-baikan sistem tersebut dalam pilihan raya akan datang.
Dengan pengumuman tersebut, kumpulan Pro-Aspirasi kekal menguasai UM dengan memperolehi 21 kerusi. Pihak Pro-Mahasiswa pula mendapat 17 kerusi, manakala bebas 3 kerusi. - malaysiakini
Baca Selanjutnya -

Selamat Datang !

0 comments
Memberikan liputan dan ulasan sekitar isu kampus dan mahasiswa !
Baca Selanjutnya -
© 2009 - UM-KINI | Design: Choen | Pagenav: Abu Farhan Top